Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah digerakkan juga hati ini untuk menulis setelah sekian lama jari-jari ini kaku dan lesu. Mungkin kesan kerinduan yang teramat sangat pada Bumi Haramain yang kini dapat kutatap hanya melalui gambar-gambar yang diambil dalam diari kenangan lalu.
Kala sahabat-sahabat lain sedang sibuk dengan assignment yang perlu dihantar pada minggu hadapan, aku memilih untuk mencoret sesuatu di sini bertemankan nikmatnya batuk dan selesema yang masih tidak berhenti mentarbiyyah diri.
Bumi Haramain; Mekah dan Madinah. Tempat paling suci di dunia. Menziarahinya menimbulkan rasa kesyukuran dan kecintaan. Meninggalkannya memutikkan buah kerinduan lantas doa dititipkan agar bisa menjadi tetamuNya lagi pada masa hadapan.
Allah~
Ketika mana rancangan untuk mengerjakan umrah ini diberitahu oleh abang Jo, aku ada meminta izin dari mak. Memandangkan ada beberapa kekangan terutamanya dari segi kewangan (kerana wang yang ada lebih diperlukan untuk hal-hal yang lain), dalam nada yang sangat berat, mak terpaksa untuk tidak mengizinkan aku untuk pergi. Bukan aku tiada simpanan sendiri. Alhamdulillah, Allah SWT gerakkan hati untuk aku menyimpan sedikit demi sedikit duit elaun yang ada. Tetapi kata mak, mungkin ia lebih diperlukan untuk pengajian tahun akhir aku nanti. Kalau nak harapkan duit dari mak ayah, mungkin tidak cukup kerana adik-adik lain masih bersekolah dan lebih memerlukannya berbanding aku. Aku faham dan mengerti akan prioriti yang ada sebab aku bukanlah dari keluarga yang senang. Dan berdasarkan keperluan tanggungan yang ada, pergi menunaikan umrah atau haji tidak pernah menjadi top list kami setakat ini walaupun jauh di sudut hati, ianya antara yang paling kami ingini.
Jadi sekembalinya ke UK selepas cuti musim panas, sekali lagi sahabat-sahabat sibuk bercakap pasal umrah dan aku masih menaruh harapan itu tetapi mungkin tidak sesemangat dulu. Kerana memikirkan mungkin ini belum masanya lagi kerana aku masih punya prioriti lain. Dan bila mana tarikh tutup semakin hampir, aku jadi terfikir kembali. Aku nak sangat pergi. Aku telefon mak kat Malaysia. Bertanya khabar keluarga dan aku diberitahu yang ayah tidak berapa sihat. Aku jadi berdebar. Ada gema sayu di balik suara mak. Mak tidak putus-putus minta aku berdoa. Aku tidak bertanya lanjut. Cuma dapat aku rasakan ada butir-butir jernih di hujung kelopak air mata. Aku tewas.
Aku berusaha untuk tenangkan mak. Tak jadi nak tanya sekali lagi pasal umrah tu. Cuma aku cakap kat mak yang ada kawan-kawan yang akan menunaikan umrah dan kita boleh kirim doa kepada mereka untuk kesembuhan ayah. Pada masa tu, aku dah redha. Tak pergi pun tak pa. Tiba-tiba mak tanya, "Ramai ka yang pi?". Aku pun beritahu mak, "Ada jugakla kawan-kawan rapat yang pi". Lepas tu mak cakap " Adik pi la umrah dik. Boleh jugak doakan untuk keluarga kita. Mak dengan ayah tak tau bila boleh pi."
Allah~
Air mata semakin laju menuruni pipi. Aku cakap kat mak, "Mak jangan risau. Adik paham ja. Adik ok ja kalau tak pi pun. Nanti kan kita nak pakai duit banyak. Lagipun adik rasa berat hati. Mak ayah pun tak dapat pi lagi". Mak balas, "Takpa la adik. Rezeki ni Allah SWT yang bagi. Duit boleh kita cari lagi. Tang-tang mana ada la tu". Mak bagi telefon kat kakak. Suruh pujuk aku untuk pergi. Allah SWT sahaja yang tahu perasaan aku pada masa tu. Lama aku cakap dengan kakak.
Alhamdulillah keputusan yang dicapai, aku mengambil keputusan untuk pergi. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah SWT. Terus aku hantar emel kepada Akademi Umrah untuk menyatakan persetujuan aku untuk pergi.
Untuk menambah sumber kewangan, aku dan beberapa orang sahabat mengambil keputusan untuk membuat jualan makanan setiap hujung minggu dan akhirnya tertubuhlah page "Warungku Warungmu Jua". Kami ambil order makanan secara online dan membuat delivery. Penat memang penat. Tetapi alhamdulillah, at least boleh jugak cover perbelanjaan yang diperlukan. Pakej umrah yang aku ikuti ini adalah antara yang termurah iaitu 850 pound. First payment adalah 400 pound dan alhamdulillah aku dapat membayarnya walaupun elaun belum keluar dengan duit simpanan yang aku ada.
Mak pun gembira dengan keputusan aku. "Adik kena ingat, insyaAllah ada berkat dalam usaha adik nak ke umrah ni. Sebab adik pi sana guna duit berniaga ni. Memang la penat sikit kan tapi insyaAllah halal. Kadang-kadang orang yang duit banyak pun, kalau Allah SWT takdir tak sampai Mekah Madinan lagi, depa tetap tak boleh sampai. Ni kira rezeki adik la ni".
Aku belajar sesuatu daripada apa yang berlaku. Semestinya pergantungan kita kepada Allah SWT jangan pernah putus. Dan untuk menjadi tetamu Allah SWT bukanlah senang kerana tidak semua orang berpeluang dalam masa yang sama. Ada yang akan pergi dulu dan ada yang akan pergi kemudian. Tetapi once dah dapat, kena grab betul-betul. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. :)
Dan untuk post seterusnya, kita akan jelajah Mekah dan Madinah. InsyaAllah :)